Ramai juga insan yang dikelilingi kemewahan hidup namun hatinya bagaikan gersangnya dipadang pasir. Kosong, hambar, tawar, panas dan pelbagai lagi keresahan yang mencengkam jiwa. Wang berjuta, pakaian mewah jutaan ringgit,, kereta mewah berderet, isteri-isteri yang jelita, anak-anak yang ramai dan pelbagai lagi tidak menjamin dapat rasa bahagia dan tenang. Justeru apakah nilai sebenar yang mampu menyejukkan hati dan menyamankan jiwa?
Nilai yang dapat mengisi jiwa manusia hakikatnya tidak terpahat pada kilauan berlian, kerlipan emas, kejelitaan wajah dan lain-lain. Oleh itu dimanakah kita dapat mencarinya? Apakah nilai yang membahagiakan itu sebenarnya tidak wujud atau ia sengaja disembunyikan kerana takutkan sesuatu?
Lantaran itu jangan lah kita tertipu ibarat seorang yang sedang kehausan dipadang pasir dengan kilauan Fatarmorgana yang disangkakan air.
Fatamorgana itu dihidangkan kepada rakyat dengan semakin hebat oleh media massa hari ini. Semakin mendekati kiamat, semakin galak media massa cetak, elektronik dan maya menonjolkan fatamorgana untuk menghilangkan ‘dahaga’ ruh masyarakat. Nilai yang hakiki disembunyikan atau sekadar dijadikan kosmetik buat mengelabui mata rakyat.
Fatamorgana terbaru disiarkan oleh Utusan Malaysia mengenai kebaya bertatah berlian dan permata yang bakal masuk senarai Guinness World of Records. Ia diperagakan oleh penyanyi Datuk Sheila Majid.
Dalam laporan tersebut, Datuk Sheila Majid menyatakan perasaannya, "Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini apabila memikirkan kebaya yang bernilai berjuta-juta ringgit disarungkan ke tubuh saya".
Sepatutnya kenyataan tersebut mengungkapkan, “Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini kerana terpaksa memakai pakaian mendedahkan aurat. Meskipun ia mahal namun aurat saya jauh lebih berharga dari nilai baju jutaan ringgit itu. Aurat saya adalah rahsia serta maruah saya sebagai wanita muslim. Sekali-kali saya tidak akan tukarkannya dengan sedikit nilai duniawi yang tidak mendapat tempat di sisi Allah”.
Ungkapan itu jika diluahkan dari hati berjiwa hamba kepada Allah akan memberi nilai yang tidak dapat dibeli dengan wang berjuta sekalipun. Inilah hati yang mewah dengan iman. Inilah jiwa taqwa yang bernilai ekslusif di sisi Allah swt. Sepatutnya kenyataan seperti ini lah yang diucapkan apabila beliau menghubung kaitkan dengan nama Allah..
Apalah sangat kebaya jutaan ringgit jika disebalik kilauan permata dan berlian itu hanya terdapat murka Allah. Kemurkaan itu bukan setakat fesyen pakaian yang mendedahkan aurat bahkan juga pada pembaziran yang dibuat semata-mata untuk sepasang baju!. Baju itu tetap juga namanya kebaya.,apa guna jika nyawa terancam. Kalau rasa nyawa tak terancam kenapa harus ada polis mengawalnya..ini bermakna nyawanya senilai harga kebaya itu sahaja ..
Jika ditanya siapa yang mahu bertemankan syaitan... saya percaya ramai yang tidak sanggup. Tapi siapa yang mahu berdekat dan berbaik dengan Allah... pasti ramai yang mahu. Namun sekadar berteori di lidah tidak bertulang, tiada maknanya. Sedangkan perbuatan kita menurut apa yang syaitan suka.
Allah menyifatkan orang-orang yang suka membazir sebagai adik-beradik syaitan. Wah... hebat... bukan setakat bersahabat, bahkan sudah ada ikatan silaturrahim secara rasmi sebagai adik - beradik.
Allah berkata dalam surah al-Isra’, ayat 26 dan 27,
"Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing serta janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
Alangkah baiknya jika nilai jutaan ringgit itu dibelanjakan buat golongan fakir dan miskin yang masih ramai tidak memiliki kediaman.
Malaysia Boleh!
Semata-mata untuk menunjukkan Malaysia serba boleh, bukanlah dengan membelakangi tuntutan al-Quran dan as-sunnah. Nilai apa yang ada pada Guinnes World of Records itu? Rekod tersebut dicipta oleh siapa dan apa tujuannya yang sebenar? Memburu yang tertinggi, terbesar, terbanyak, terpanjang dan segala macam ‘ter’ lagi di dunia ini sinonim dengan mencari ketinggian di mata manusia. Sedangkan ganjaran syurga di akhirat itu disediakan untuk mereka yang tidak mencari kedudukan yang tinggi di dunia. Sebaliknya berusaha menjadi hamba yang sentiasa merendah diri kepada Allah. Hamba yang merendah diri kepada Tuhannya ialah yang mentaati perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Masih terdapat ruang untuk menjadi ‘ter’ di dunia ini iaitu mematuhi dan melaksanakan undang-undang Allah sepenuhnya di bumi Malaysia yang bertuah.ini. Dalam konteks dunia hiburan, laksanakan hiburan cara Islam. Islam bererti selamat dan aman. Jika cara lain yang kita cari dan usahakan, maka tunggulah hasil kerosakan yang disebarkan di dunia fana ini memberi natijah buruk di akhirat kelak.
Allah berkata di dalam surah Al-Qasas, ayat 83,
"Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."
Justeru itu fikir-fikirkan...kemewahan di dunia yang kita mahu atau kemewahan syurga di akhirat yang kita harapkan?
Permulaan Hijrah
3 years ago