Wednesday, September 9, 2009

Lailatul Qadr

Bismillahirrahmanirrahiim..

Malam ini adalah malam al-Quran diturunkan. Menurut As-Syahid Syed Qutb rahimahullah, "ia adalah malam manusia dilahirkan manusia. Manusia yang dalam kesesatan yang nyata dalam semua segi telah dihidupkan kembali dengan nafas baru melalui al-Quran". Kedatangan al-Quran telah membawa perubahan yang besar dalam hidup manusia sejagat. Ia telah merubah kehidupan manusia kepada kehidupan yang benar dan luar biasa.

Perkara yang paling pokok adalah aqidah. Aqidah Al-Quran adalah adalah aqidah yang salim. Mengikut As-Syahid Hassan alBanna iaitu; "aqidah yang satu yang selamat dari 73 mazhab aqidah. Al-Quran telah mendidik manusia menjadi luar biasa. Mereka-mereka yang disentuh oleh roh al-Quran akan mengalami perubahan yang menjadikannya berlainan dari manusia yang tidak disentuh oleh al-Quran."

Pelbagai contoh kisah para sahabat r.a di zaman mereka telah membuktikan keajaiban tarbiah Al-Quran. Tabiat manusia yang cenderung kepada dunia telah dihapuskan dari hati Saidina Abu Bakar r.a sehingga beliau yang jutawan telah menggunakan semua harta untuk agama Allah. Kecintaan kepada suami dan anak telah ditukarkan kepada kecintaan kepada Allah dan rasul di dalam hati para ibu-ibu Madinah. Kepulangan angkatan perang Islam disambut mereka dengan pertanyaan; "bagaimana Rasulullah, adakah baginda selamat?" Setelah mendapat jawapan baru mereka akan bertanya tentang suami dan anak. Mereka berkata; "Kegembiraan melihat Rasulullah selamat menenggelamkan kesedihan kami kehilangan anak dan suami. Inilah roh al-Quran. Roh ini jugalah yang melahirkan isteri-isteri yang menentang naluri yang menolak poligami dan mendorong mereka untuk meminang calon isteri kepada suami-suami mereka. Semuanya kerana roh al-Quran telah mendidik mereka untuk mengejar sesuatu yang lebih baik dan kekal di sisi Allah. Suami yang disentuh roh al-Quran juga akan menyayangi anak dan isteri kerana takut kepada Allah. Bukan kerana sifat tabii mereka. Mereka menyayangi mereka yang mulia disisi Allah. Mereka tidak menyayangi mereka yang melanggar perintah Allah. Manusia yang mendapat sentuhan al-Quran akan berbuat sesuatu berdasarkan aqidah mereka. Perbuatan mereka mungkin sama dengan manusia lain tetapi di dalam jiwa mereka melihat sesuatu itu dengan kebenaran yang wujud dalam Al Quran. Mereka hidup dengan roh al-Quran secara syumul. Gerak langkah mereka diikat dengan tali Allah. Inilah al-Quran yang dimiliki oleh umat Islam.

Lailatul Qadr adalah malam ia diturunkan oleh Allah. Adalah tidak tepat menyambut lailatul qadr ini hanya untuk mengharapkan pahala dan sebagainya tetapi dalam realiti hidup, Al-Quran tidak dijadikan sebagai roh kehidupan. Marilah menyambut malam yang mulia ini dengan doa dan tekad untuk meninggalkan kehidupan yang berdasarkan nafsu dengan mengambil roh al-Quran sebagai satu-satunya panduan dan pegangan hidup.

Sekadar Renungan...Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment